BANGI, 29 MUHARRAM – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul untuk merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini berikutan kenyataan Anwar berhubung isu tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes Pulau Batu Puteh.
Menurutnya, usul tersebut dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) atas dakwaan Perdana Menteri mengelirukan Dewan Rakyat berhubung status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah kuasa Perdana Menteri?
“Adakah ini satu pengesahan daripada Perdana Menteri bahawa beliau campur tangan dalam urusan perundangan?,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen, semalam.
Selasa lalu, Anwar berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Namun Perdana Menteri berkata, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan pulau berkenaan dengan begitu mudah.
Dr Mahathir menerusi hantaran di media sosial secara sinis menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan sebarang imuniti, termasuk faktor usia jika kerajaan menuduh beliau bersalah.
Takiyuddin berkata, keputusan untuk menentukan pendakwaan terhadap mana-mana individu merupakan kuasa Jabatan Peguam Negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi