Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata lagu viral atau parodi berkaitan dengan fahaman GISBH boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
Ini kerana lagu berkenaan membabitkan bait-bait seakan zikir yang memuja sosok pengasas kumpulan Al-Arqam iaitu Abuya Ashaari atau nama sebenarnya Ashaari Muhammad yang pada awalnya sudah diputuskan hukumnya adalah sesat.
“Abuya itu memang tidak benar dan sesat, tiba-tiba kita nak sanjung dia dan sebagainya, itu memang tak betul,”
“Bait-bait umpama zikir yang tidak elok itu ialah sambungan semasa Ashaari masih hidup dan sudah diputuskan hukumnya sesat.” ujarnya kepada pemberita di Majlis Pengisytiharan dan Anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) Penulisan 3 Juta Kalimah Allah di Bumi Kelantan di Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah, Morak, Tumpat, Kelantan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai untuk segera berhenti melakukan parodi atau terikut-ikut dengan nyanyian yang ada kaitan dengan kumpulan yang dipercayai sesat berkenaan.
“Jadi, tidak boleh dipanjang-panjangkan lagi apatah lagi berkait dengan puja-memuja manusia dan perlu dihentikan segera,” tegasnya.
Jelasnya juga, kumpulan Al-Arqam sudah difatwakan sesat oleh negeri-negeri di Malaysia sejak dahulu lagi termasuk negerinya, Kelantan kerana dengan jelasnya bertentangan dengan agama Islam.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak untuk berhati-hati dan tidak membiarkan orang lain termasuk kanak-kanak menyanyikan lagu kumpulan terbabit.
Sejurus pembongkaran besar-besaran perbuatan jelik GISBH berhubung dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak dan mengeksploitasi manusia, media sosial kian dibanjiri dengan lagu-lagu asli, parodi buatan dan lirik-lirik yang berkait rapat dengan fahaman kumpulan Al-Arqam sehingga mendapat jutaan perhatian rakyat di atas talian.
Sumber: Sinar Harian
#GISBH #Ikhwan #Ajaransesat #MuftiKelantan
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi