WASHINGTON, 27 MUHARRAM – Donald Trump menuduh Barack Obama melakukan pengkhianatan, namun tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengetuai usaha untuk mengaitkan beliau secara palsu dengan Rusia serta menggagalkan kempen Pilihan Raya Presiden 2016.
Jurucakap Obama menolak dakwaan Trump dan menyifatkannya sebagai tuduhan pelik yang tidak masuk akal dan cubaan lemah untuk mengalihkan perhatian.
Walaupun Trump sering menyerang Obama secara terbuka, Presiden AS daripada Republikan itu sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, belum pernah membuat tuduhan jenayah secara langsung terhadap bekas Presiden dari Demokrat.
Dalam kenyataan di Rumah Putih, Trump memberi reaksi terhadap kenyataan Ketua Perisikan, Tulsi Gabbard, Jumaat lalu yang mengugut untuk merujuk pegawai pentadbiran Obama kepada Jabatan Kehakiman atas dakwaan konspirasi berkaitan penilaian risikan terhadap campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya 2016.
Gabbard yang menyahklasifikasi dokumen sulit berkata, maklumat yang dikeluarkan menunjukkan wujud konspirasi pengkhianatan pegawai tertinggi pentadbiran Obama pada 2016 untuk melakukan sabotaj terhadap Trump, dakwaan yang disangkal Demokrat sebagai tidak benar dan bermotif politik.
“Ia jelas, dia bersalah. Ini satu pengkhianatan,” kata Trump tanpa memberikan sebarang bukti. “Mereka cuba mencuri pilihan raya, mereka cuba kaburkan keputusan. Mereka lakukan perkara yang tak pernah dibayangkan pun, bahkan di negara lain.”
Penilaian komuniti perisikan AS yang diterbitkan pada Januari 2017 merumuskan bahawa Rusia, melalui penipuan di media sosial dan penggodaman cuba merosakkan kempen Hillary Clinton dari Demokrat dan mengukuhkan kedudukan Trump. Namun penilaian itu menyatakan kesan sebenar usaha Rusia itu mungkin terhad dan tiada bukti ia mengubah keputusan undian.
Laporan dwipartisan Senat pada 2020 turut mendapati Rusia menggunakan pengendali politik Republikan, Paul Manafort, laman WikiLeaks, dan beberapa saluran lain untuk mempengaruhi Pilihan Raya 2016 demi membantu kempen Trump.
“Tiada apa-apa dalam dokumen yang dikeluarkan minggu lalu (oleh Gabbard) menafikan kesimpulan umum bahawa Rusia memang cuba mempengaruhi pilihan raya 2016 tetapi tidak berjaya mengubah undi,” kata jurucakap Obama, Patrick Rodenbush.
Trump di bawah tekanan
Trump yang terkenal menyebarkan teori konspirasi palsu, sering mengecam penilaian perisikan sebagai satu penipuan. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Trump menyiarkan semula satu video palsu di platform Truth Social yang menunjukkan Obama digari dan ditahan di Rumah Putih.
Presiden AS itu kini cuba mengalihkan perhatian kepada isu lain selepas ditekan oleh penyokong konservatif untuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai Jeffrey Epstein, yang membunuh diri pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.
Penyokong teori konspirasi Epstein mendesak Trump yang pernah bersosial dengan Epstein pada 1990-an dan awal 2000-an untuk mendedahkan fail siasatan berkaitan kes tersebut.
Namun apabila ditanya mengenai Epstein, Trump terus mengalihkan topik dengan menyerang Obama dan Clinton.
“Pemburuan sihir sebenar yang patut anda bincangkan ialah mereka telah menangkap Presiden Obama dengan bukti yang jelas,” kata Trump.
Trump mencadangkan tindakan akan diambil terhadap Obama dan bekas pegawai-pegawainya, menyifatkan siasatan Rusia sebagai tindakan pengkhianatan dan Obama sebagai bersalah kerana “mencuba mengetuai rampasan kuasa.”
“Sudah tiba masa untuk bertindak, selepas apa yang mereka lakukan terhadap saya. Sama ada betul atau salah, inilah masanya untuk bertindak balas,” katanya.
Wakil Demokrat, Jim Himes, membalas di platform X: “Ini satu pembohongan. Jika beliau keliru, Presiden patut bertanya kepada @SecRubio, yang turut memimpin siasatan Senat dwipartisan yang secara sebulat suara menyimpulkan tiada bukti dalam tindakan komuniti perisikan berkaitan Pilihan Raya 2016.”
Bekas Senator Republikan, Marco Rubio, kini memegang jawatan Setiausaha Negara dalam pentadbiran Trump.
Sejak kembali ke pejabat, Trump kerap mengecam lawan politiknya yang didakwanya memanipulasi agensi kerajaan untuk menyerangnya serta menyalahkannya atas insiden serangan 6 Januari 2021 ke atas Capitol oleh penyokongnya dan isu pemilikan dokumen sulit selepas beliau meninggalkan pejabat pada 2021. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi