BANGI, 27 MUHARRAM – Perdana Menteri mengumumkan penetapan harga bersasar petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan cuti umum tambahan pada Isnin, 15 September 2025 sebagai antara langkah penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
“Apa yang pasti, seperti pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas; bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya dalam pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi.
Bagi tahun 2023 dan 2024, katanya subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun dan walaupun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan warga asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
Sementara itu Perdana Menteri mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada 15 September 2025 sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Katanya, hari kelepasan am itu untuk meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan memberi masa serta ruang lebih baik untuk menikmati bersama keluarga.
“Sempena Hari Malaysia 16 September ini, untuk meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan kita memberi masa dan ruang lebih baik dengan kelaurga maka saya umumkan 15 September 2025, Isnin sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi