BANGI, 27 MUHARRAM – PAS menyifatkan pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, hanya bagi mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun dalam Himpunan Turun Anwar, Sabtu ini.
Ketua Penerangan PAs Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, hanya bantuan RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia bernilai keseluruhan RM2 billion, kelihatan menarik dalam pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim..
“Selain itu, ia hanyalah pengumuman biasa dan boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa terutama menjelang Bajet 2026 nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Anwar terpaksa membuat pengumuman dengan segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun pada 26 Julai ini (Himpunan Turun Anwar).
“Umpamanya, tidaklah padan dengan teaser (pengenalan) yang ditayangkan seminggu sudah seolah-olah filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam menggunakan software (perisian) ciplak untuk proses editing (suntingan),” katanya.
Beliau berkata, penurunan harga minyak RON95 sebanyak enam sen, tidak sepadan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Ahmad Fadhli turut mempertikaikan kenaikan harga lantai padi kerana hanya menguntungkan golongan tauke sedangkan pesawah menanggung kos diesel, baja dan mesin berikutan kos pengeluaran yang jauh lebih tinggi berbanding harga lantai padi
Sehubungan itu, katanya bantuan wang tunai sebanyak RM2 billion tidak mempunyai apa-apa erti berbanding RM7.5 billion hasil penyasaran subsidi diesel.
“(Pengumuman Perdana Menteri) Tiada yang berimpak jangka masa panjang. Hanya pengumuman biasa,” katanya yang menggesa rakyat menyertai himpunan pada 26 Julai di Kuala Lumpur.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi