BANGI, 27 ZULHIJJAH — Mahkamah Rayuan, hari ini membenarkan rayuan kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan bagi mengetepikan perintah supaya ia memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng, secara sebulat suara membuat keputusan itu, namun mengarahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan analisis pakar.
Mahkamah juga menolak rayuan silang SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepada syarikat terbabit.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepada syarikat itu mengikut Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
Antara bangunan di tanah yang menjadi pertikaian di Jalan Duta ialah beberapa kompleks pejabat kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta kemudahan seperti Stadium Hoki Nasional dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan saman pemula SESB dan menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
Mahkamah memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendaftarkan SESB sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Namun pada 12 September tahun sama, kerajaan berjaya dalam permohonan menggantung keputusan berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah ketika itu membenarkan permohonan kerajaan, memutuskan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan dibenarkan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi