Rafizi kongsi petua, sindir pemimpin belum tahu budaya PKR 

BANGI, 22 MUHARRAM – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengingatkan pihak yang hendak menggantung keahliannya dan lapan Ahli Parlimen lain Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya melihat dahulu keadaan parti itu.

Katanya, ada desakan supaya mereka yang memulakan syor penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman digantung.

“Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung. Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi.

“Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati. Rakyat pun perhati juga. Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Sebelum ini, wujud desakan beberapa pihak dalam PKR supaya tindakan disiplin seperti menggantung keahlian diambil terhadap Rafizi serta lapan Ahli Parlimen parti itu susulan tindakan mereka mengkritik kontroversi pelantikan dalam institusi kehakiman yang dilihat memberi imej buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, menggantung keahlian sembilan Ahli Parlimen berkenaan hanya akan menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, iaitu lebih sedikit berbanding DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, katanya tindakan menggantung keahlian tidak menyelesaikan masalah kerana mereka dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara dan mereka akan terus bersuara.

Menurutnya, tindakan penggantungan juga memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam parti itu lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Abdul Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Beliau menasihat pimpinan PKR peringkat cabang daripada generasi yang baru menang selepas pemilihan parti itu baru-baru ini bahawa PKR tidak dibina dengan menutup mulut.

“PKR nampak dinamik kerana kita sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti. 

“Kita juga diminati rakyat sebelum ini kerana kita paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat,” katanya.

Rafizi berkata, itu yang  menjadi amalan pemimpin sebelum ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru seperti ketua-ketua cabang berkenaan untuk menjadi orang besar dan berjawatan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Orang Melayu ‘sedekah’ RM300 juta kepada Netflix pada 2024

Next Post

Isu Titah Addendum: Anwar sedia temui pemimpin UMNO

Related Posts