Hospital Gaza lumpuh, lebih 100 bayi pramatang berisiko maut

GAZA, 14 MUHARRAM – Lebih 100 bayi pramatang di Gaza kini berdepan kematian apabila dua hospital utama – Hospital al-Shifa dan Hospital Nasser hampir lumpuh sepenuhnya akibat kehabisan bahan api berpunca daripada sekatan kejam Israel.

Kedua-dua fasiliti perubatan itu, yang menjadi nadi kepada sistem kesihatan Gaza, mengeluarkan rayuan kecemasan kepada dunia, memohon bantuan segera bagi mengelakkan tragedi kemanusiaan yang lebih parah.

“Stesen oksigen akan berhenti. Bank darah akan musnah. Dan hospital ini akan menjadi tanah perkuburan, bukan lagi tempat penyembuhan,” ujar Pengarah Hospital al-Shifa, Dr. Muhammad Abu Salmiyah, dalam nada pilu.

Beliau mengesahkan bahawa lebih 100 bayi pramatang dan sekitar 350 pesakit dialisis kini bergantung kepada sistem hayat yang akan terhenti sepenuhnya jika bekalan tenaga tidak segera dipulihkan.

Di Kompleks Perubatan Nasser, Khan Younis, para doktor kini hanya bergantung kepada hati nurani dan harapan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Jurucakap hospital, Mohammed Sakr berkata, fasiliti itu hanya mempunyai 3,000 liter bahan api, cukup untuk bertahan 24 jam sahaja, jauh dari keperluan harian sebanyak 4,500 liter.

Operasi pembedahan kini dilakukan tanpa penghawa dingin, dalam suhu tinggi yang menjejaskan steriliti bilik bedah.

Video dari hospital berkenaan memaparkan doktor bermandi peluh ketika menyelamatkan nyawa pesakit, sementara kipas dan penghawa dingin telah lama terpadam.

“Semuanya dimatikan. Kakitangan keletihan. Mereka mengadu kepanasan melampau,” kata seorang doktor dalam video itu.

Serangan Israel sejak Oktober 2023 bukan sahaja membunuh ribuan rakyat Palestin, malah secara sistematik melumpuhkan infrastruktur kesihatan di Gaza. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 600 serangan ke atas fasiliti kesihatan telah direkodkan, manakala hanya 19 daripada 36 hospital kini berfungsi secara separa.

Lebih 1,500 petugas kesihatan dilaporkan terbunuh, dan 185 lagi ditahan oleh pasukan Israel. WHO menyifatkan sistem kesihatan Gaza sebagai sudah lumpuh sepenuhnya.

Lebih menyayat hati, sejak lebih empat bulan lalu, bahan api langsung tidak dibenarkan masuk ke Gaza. Sekatan ini bukan sahaja menyekat kenderaan atau senjata, tetapi oksigen, air dan elektrik – keperluan paling asas untuk terus hidup.

“Apa yang tinggal kini digunakan untuk ICU dan penyahgaraman air. Tapi stok ini juga bakal habis,” kata agensi kemanusiaan PBB (OCHA).

Sekatan terhadap kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan menjadikan Gaza seperti penjara terbuka. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, bantuan yang dibenarkan masuk terlalu sedikit, dan kebanyakannya hanya disalurkan melalui organisasi pro-Barat.

Malangnya, ratusan rakyat Palestin telah ditembak ketika cuba mendapatkan bantuan tersebut.

Setakat ini, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 57,575 rakyat Palestin, dengan lebih 136,879 lagi cedera, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Sebaliknya, Israel merekodkan kira-kira 1,139 kematian dalam serangan 7 Oktober 2023.

Dalam situasi ini, dunia digesa tidak sekadar menjadi pemerhati senyap, tetapi mengambil tindakan tegas untuk menamatkan sekatan tidak berperikemanusiaan ini dan menyelamatkan ribuan nyawa yang masih bernyawa buat masa ini. – AL JAZEERA

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS kenakan sekatan ke atas pengkritik tegar Israel di PBB 

Next Post

Hamas sedia bebaskan 10 tebusan, Israel masih gagalkan rundingan gencatan senjata

Related Posts