TEHRAN, 26 ZULHIJJAH – Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berjaya menembak jatuh sebuah lagi dron pengintip buatan Israel, Hermes 900, di wilayah Markazi yang terletak di barat daya ibu negara Tehran.
Menurut laporan akhbar tempatan, Shargh, serangan itu berjaya dipatahkan selepas sistem pertahanan udara buatan tempatan Iran diaktifkan oleh IRGC.
Kenyataan Shargh menerusi hantaran di platform X menyebut bahawa sistem itu berperanan penting dalam menggagalkan pencerobohan udara yang didakwa didalangi rejim Zionis.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kurang seminggu Iran memintas dron Hermes 900. Pada minggu lalu, pihak berkuasa Iran telah menyiarkan rakaman video menunjukkan serpihan dron yang berjaya ditembak jatuh di wilayah Isfahan antara malam 17 dan 18 Jun.
Agensi berita Fars turut melaporkan bahawa sistem pertahanan udara Iran turut diaktifkan di sekitar ibu negara Tehran dan kawasan baratnya, Karaj, awal pagi Isnin, dipercayai bagi menghadapi ancaman yang sama.
Langkah ketenteraan ini mencerminkan kesiapsiagaan tinggi Iran dalam mempertahankan ruang udaranya daripada pencerobohan kuasa asing, khususnya rejim Zionis yang giat menjalankan operasi risikan di rantau tersebut.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi