BANGI, 4 MUHARRAM — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan dalam meneruskan atau memperluas penswastaan perkhidmatan hospital termasuk kemudahan sokongan serta kemungkinan operasi klinikal secara berperingkat.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan kegagalan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab asas terhadap rakyat, malah menjadi satu bentuk penindasan halus terhadap golongan marhaen.
“Terutama warga B40 dan M40 yang selama ini bergantung harap kepada sistem kesihatan awam negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Irwan berkata penswastaan hospital membawa pelbagai risiko termasuk peningkatan caj perubatan di hospital yang sepatutnya percuma atau pada kadar minimum.
Selain itu, beliau berkata, ia turut menyebabkan penyisihan akses kesihatan kepada golongan miskin dan luar bandar, perwujudan monopoli swasta yang hanya mengutamakan keuntungan serta ancaman terhadap keselamatan kerja kakitangan awam seperti jururawat, pembantu kesihatan, dan staf teknikal.
“Apakah makna ‘Malaysia Madani’ jika nyawa rakyat diperjudikan kepada syarikat konsesi? Apakah erti ‘negara sejahtera’ jika ibu bapa terpaksa memilih antara membeli ubat atau memberi makan anak-anak?
“PERKASA menegaskan bahawa kesihatan rakyat adalah tanggungjawab mutlak kerajaan. Tidak harus diserahkan kepada tangan-tangan kapitalis yang rakus mengaut untung atas derita rakyat,” katanya.
Justeru itu, PERKASA menuntut agar kerajaan melaksanakan moratorium segera terhadap sebarang pelan penswastaan hospital, termasuk pembinaan hospital baharu seperti di Cyberjaya.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu melakukan audit menyeluruh ke atas semua kontrak konsesi hospital sedia ada dan pendengaran awam (public inquiry) untuk menilai kesan sosial dan ekonomi daripada dasar penswastaan ini.
“PERKASA berdiri teguh bersama rakyat. Kami tidak akan berdiam diri jika hak rakyat untuk mendapat rawatan kesihatan berkualiti, mampu milik dan adil terus dinafikan.
“Terbukti kerajaan ini bukan sahaja gagal mengubah nasib rakyat, tetapi tidak tahu mengurus negara, yang kaya akan menjadi maha kaya dan yang miskin menjadi papa kedana,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi