BANGI, 29 ZULHIJJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, perkara itu diputuskan selepas meneliti maklum balas yang diterima berkenaan cukai jualan ke atas buah-buahan import.
“MOF ingin menggariskan bahawa Kerajaan Madani tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada Cukai Jualan ini – sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport – termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur.
“Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan,” katanya.


Mengulas lanjut, MOF berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Selain itu, katanya, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan seaaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM 1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan yang membolehkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) menikmati manfaat pengecualian cukai.
“Selepas meneliti sentimen awam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut tidak meneruskan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah, serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi