Jabatan Peguam Negara fail notis rayuan pelepasan, pembebasan Syed Saddiq

BANGI, 29 ZULHIJJAH — Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan.

Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata, selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan, jabatan itu menfailkan notis rayuan bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan berkenaan.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa proses rayuan ini adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah. 

“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” kata jabatan itu.

Sabitan dan hukuman terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu adalah berhubung kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Keputusan kes yang mendapat perhatian ramai itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Ketika membacakan penghakiman Mahkamah Rayuan semalam, Noorin berkata, mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.

Selain itu, katanya pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan mengikut Seksyen 403 (menyalahgunakan harta).

“Kami juga mendapati bahawa pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.

Syed Saddiq membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, selepas mendapati beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan terbabit.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bank laksana cukai perkhidmatan terhadap khidmat kewangan mulai 1 Julai

Next Post

Pelantikan hakim: Beri ruang secukupnya kepada JAC

Related Posts