IPOH, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membincangkan tawaran kerusi untuk ditandingi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman jika Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak dipilih UMNO bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu tidak mahu terlibat dengan apa yang berlaku terhadap parti lain selepas Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Katanya, berhubung kenyataan Pas Perak yang sedia menawarkan Tajuddin bertanding atas tiket Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Pasir Salak jika tidak dipilih oleh UMNO, perkara itu terserah pada Pas.
“Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya, itu hak pucuk pimpinan. Kami tak ada bincang perkara itu, tak terlibat dengan apa yang berlaku dalam parti orang lain.
“(Pas tawar Tajuddin kerusi bertanding) Itu terserah pada Pas, itu hak mereka untuk memberi pandangan, bagi Bersatu kami tak bincang pun tentang perkara itu,” katanya selepas merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sekolah Raja Perempuan (RPS) di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kenyataan Pas Perak yang sedia menawarkan kerusi untuk ditandingi Tajuddin pada PRU15.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tawaran itu dibuat setelah Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurutnya, tawaran itu tidak bermaksud Pas mahu mencampuri urusan atau kemelut dalaman mana -mana parti yang lain.
“Apabila digugurkan daripada MKT UMNO, tentunya Tajuddin tidak akan diberi peluang dalam Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU15, jadi Pas Perak sedia untuk menawarkan kerusi Pasir Salak kepada beliau atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili Pas.
“Sekiranya pembahagian kerusi Parlimen Pasir Salak dalam PN diberikan pada Pas dan Tajuddin bersedia untuk bertanding atas tiket PN, kita akan beri kepadanya,” katanya. – UTUSAN
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/25/tanda-pagar-matkilau-sohor-di-twitter/