BANGI, 28 ZULHIJJAH — Satu lagi kes berprofil tinggi yang menyentuh kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah akan didengar di hadapan panel hakim tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan Putrajaya, esok.
Prosedur yang berlangsung pada jam 9 pagi esok, melibatkan aktivis sosial, Maria Chin Abdullah yang memohon untuk mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman penghinaan mahkamah.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hisham Marzuki berkata, ini bukan sekadar isu undang-undang, tetapi soal kedaulatan syariah yang sedang dicabar di hadapan umat Islam.
Menurutnya, tindakan itu berpotensi membuka ruang yang luas kepada Mahkamah Sivil untuk campur tangan dalam hal-hal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, sekali gus melemahkan penguatkuasaan perintah-perintah yang telah dikeluarkan oleh institusi kehakiman itu.
Katanya, Mahkamah Syariah mempunyai punca kuasa yang jelas berdasarkan Seksyen 229 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, yang memperuntukkan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana pihak yang menghina mahkamah serta menguatkuasakan hukuman ke atas pesalah.
“Jika permohonan ini dibenarkan, perintah-perintah Mahkamah Syariah seperti perintah nafkah anak dan isteri, hadhanah (hak jagaan anak), harta sepencarian dan lain-lain tidak lagi dapat dikuatkuasakan secara berkesan.
“Ini akan melemahkan keupayaan penguatkuasaan Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Muhammad Hisham berkata, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, termasuk semua perkara berkaitan agama Islam.
Sehubungan itu, katanya cabaran ini merupakan satu usaha untuk mempersoalkan kedudukan Mahkamah Syariah yang telah diiktiraf sebagai sebahagian dwisistem kehakiman negara.
Selain itu, katanya cabaran untuk membolehkan Mahkamah Sivil menyemak keputusan prosedur Mahkamah Syariah adalah satu cabaran terus terhadap prinsip pengasingan bidang kuasa kehakiman yang telah lama diiktiraf dalam sistem perundangan negara.
Beliau berkata, usaha mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dipandang remeh kerana membawa implikasi jangka panjang kepada struktur kehakiman negara.
“Mahkamah Syariah ditubuhkan secara sah, mempunyai hierarki tersendiri serta proses rayuan yang tersendiri untuk menangani sebarang dakwaan kesilapan prosedur atau kehakiman,” tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya PPMM meminta umat Islam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam untuk hadir secara aman di Mahkamah Persekutuan esok bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan moral kepada institusi kehakiman Syariah.
Katanya, kehadiran itu perlu dizahirkan secara aman, teratur serta sentiasa menghormati prsoes dan institusi perundangan negara.
“PPMM akan terus memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan berharap Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan yang akan terus memelihara dan memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi