Tindakan Maria Chin gugat kedudukan Mahkamah Syariah – GPS

BANGI, 28 ZULHIJJAH — Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menyifatkan tindakan Maria Chin Abdullah mencabar keputusan Mahkamah Syariah di Mahkamah Sivil sebagai mencabar kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem kehakiman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif GPS, Mohd Noorrulhazry Saimin berkata, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Maria Chin telah dikenakan tindakan oleh Mahkamah Syariah kerana kenyataannya yang mengkritik keputusan kes syariah membabitkan wanita bernama Emilia Hanafi.

Katanya, Maria Chin yang juga bekas Pengerusi BERSIH 2.0 kini mencabar keputusan itu di Mahkamah Sivil dengan alasan Mahkamah Syariah tiada kuasa untuk menghukum penghinaan mahkamah terhadapnya.

“Apa yang sedang dicabar sebenarnya ialah bidang kuasa Mahkamah Syariah, khususnya hak Mahkamah Syariah untuk mempertahankan kewibawaannya apabila diperlekeh di ruang awam. 

“Seksyen 229 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah membenarkan mahkamah mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menghina institusi itu. Jika kuasa ini ditarik balik, maka Mahkamah Syariah tidak lagi mampu menegakkan perintah-perintah penting seperti nafkah, hak penjagaan anak dan sebagainya,” katanya dalam tulisan di media sosialnya, hari ini.

November tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Maria Chin memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis tunjuk sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Notis itu dikeluarkan selepas Maria Chin, mengkritik keputusan mahkamah berkenaan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin.

Mohd Noorrulhazry berkata, ini bukan isu peribadi Maria Chin atau Emilia, tetapi soal kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem kehakiman negara, iaitu soal maruah institusi Islam. 

“Kalau hari ini, Mahkamah Syariah boleh diperlekeh, esok lusa apa lagi yang akan hilang?” katanya

Sehubungan itu, beliau menggesa semua aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, aktivis masyarakat, peguam dan umat Islam yang cakna supaya hadir di Mahkamah Persekutuan esok sebagai tanda solidariti mempertahankan Mahkamah Syariah daripada dicabar sebegini rupa.

Katanya, kehadiran itu bukan untuk bermusuh, tetapi untuk membela prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang Islam yang semakin terhakis.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Aktivis sosial cabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Putrajaya esok

Next Post

MIPP gesa anak muda hadir Himpunan Turun Anwar

Related Posts