BANGI, 27 ZULHIJJAH — Saham global melonjak manakala dolar AS terus merosot selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan Israel.
Menerusi satu hantaran di akaun Truth Social miliknya, Trump memaklumkan bahawa gencatan senjata antara Iran dan Israel akan berkuat kuasa dalam tempoh 12 jam, sekali gus peperangan akan dianggap “tamat” selepas itu.
Seorang pegawai kanan Iran mengesahkan Tehran bersetuju dengan langkah itu, manakala Channel 12 Israel melaporkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu setuju selagi Iran menghentikan serangan.
Harga minyak jatuh hampir 4%, selepas susut 9% pada hari Isnin apabila Iran melancarkan serangan balas simbolik ke atas sebuah pangkalan AS, yang tidak membawa sebarang kesan besar dan memberi isyarat bahawa Iran telah menghentikan tindakan ketenteraannya buat masa ini.
Dengan ancaman segera terhadap laluan penghantaran penting Selat Hormuz nampaknya telah reda, niaga hadapan minyak mentah AS jatuh lagi 3.4% kepada AS$66.24 setong, paras terendah sejak 11 Jun.
“Dalam keadaan risiko lonjakan harga minyak yang semakin berkurang, saya rasa ini adalah positif dari sudut pengurusan risiko. Ia seolah-olah mengurangkan risiko kemerosotan pertumbuhan global,” kata Ray Attrill, ketua strategi pertukaran asing di National Australia Bank.
“Saya rasa ini juga menggalakkan pandangan bahawa dolar AS mungkin akan menyambung semula arah aliran penurunan nilainya,” katanya.
Susulan pengumuman gencatan senjata itu, dolar AS meneruskan penyusutan nilainya apabila turun 0.3 peratus kepada 145.70 yen ,setelah susut daripada paras tertinggi enam minggu iaitu 148 yen.
Dalam masa sama, euro pula meningkat 0.2% kepada AS$1.1594, selepas naik 0.5% pada malam sebelumnya.
Keuntungan mata wang euro dan yen dipacu oleh kejatuhan harga minyak, memandangkan Kesatuan Eropah dan Jepun banyak bergantung kepada import minyak serta gas asli cecair, berbanding Amerika Syarikat yang merupakan pengeksport bersih tenaga.
Pasaran bon meningkat pada hari Isnin selepas Naib Pengerusi Rizab Persekutuan bagi Penyeliaan, Michelle Bowman, berkata masa untuk memotong kadar faedah semakin hampir kerana risiko terhadap pasaran pekerjaan mungkin sedang meningkat.
Pengerusi Fed, Jerome Powell, akan berpeluang memberikan ulasannya sendiri apabila tampil di hadapan Kongres kemudian pada hari Selasa, namun setakat ini beliau lebih berhati-hati mengenai pelonggaran dasar dalam masa terdekat.
Pasaran masih menjangkakan hanya sekitar 22% kemungkinan Fed akan memotong kadar faedah pada mesyuarat seterusnya pada 30 Julai.
Suasana ‘risk-on’ ini menyaksikan harga emas susut 0.6% kepada AS$3,346 setiap auns bersamaan kira-kira RM15,726 mengikut kadar tukaran semasa. – Reuters
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi