BANGI, 22 ZULHIJJAH — Laporan media yang menggambarkan bahawa Mahkamah Persekutuan Hari ini telah membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama 2014 adalah tidak tepat, kata Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Menurut PPMM, laporan sedemikian adalah mengelirukan dan tidak menggambarkan keputusan dan alasan penuh mahkamah.
Mengulas mengenai intipati penghakiman mahkamah, PPMM menjelaskan bahawa mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa, sebaliknya ia membuat keputusan terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebajagian yang lain.
Menurutnya, fatwa yang disahkan iaitu kekal sah adalah seperti yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan 4 fatwa.
Perenggan 1 menyebut “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyelewang daripada ajaran Islam” manakala perenggan 4 menyatakan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.
“Fatwa yang diketepikan iaitu tidak sah ialabh pemakaian fatwa tersebut kepada Sisters In Islam (SIS) Forum sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
“Perenggan 2 fatwa yang menyentuh pengharaman dan rampasan bahan terbitan.
“Perenggan 3 fatwa, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, PPMM berkata, keputusan mahkamah itu adalah berpandukan beberapa alasan.
Katanya, antara alasan yang dinyatakan ialah tafsiran ‘orang yang menganut agama Islam’.
Jelas PPMM, alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah syarikat adalah kerana mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan ‘persons professing the religion of Islam’ sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar, bukan entiti buatan seperti syarikat atau penubuhan.
“Mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat, sebagai entiti buatan , tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa atau menunaikan haji.
“Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertabuat seperti yang dituntut oleh perenggan 4 fatwa,” jelasnya.
Alasan seterusnya ialah ‘melangkaui bidang kuasa negeri’ yang mana mahkamah mendapati perenggan 2 dan 3 fatwa adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya.
“Perkaitan berkaitan pengharaman penerbitan (perenggan 2) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (perenggan 3) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi Persekutuan iaitu SKMM,” ujarnya.
PPMM berkata, alasan mahkamah seterusnya ialah ‘kebertanggungjawaban individu tetap wujud’.
“Mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4.
“Oleh itu tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas tanpa bertanggungjawab, kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu individu-individu di dalamnya,” tambahnya.
Sebagai kesimpulan, PPMM mengulas, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu muslim adalah sah dan berkuat kuasa dan pembatalan berlaku pada aspek yang melangkaui bidang kuasa Perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi