BANGI, 22 ZULHIJJAH — Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Sisters In Islam (SIS) Forum.
Namun begitu, ia tidak terpakai kepada pertubuhan dan organisasi, sebaliknya fatwa berkenaan hanya boleh terpakai terhadap individu.
Panel empat hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan tersebut dalam alasan penghakiman ringkas hari ini.
“Fatwa tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ di dalam perenggan 1.
“Fatwa tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’ di dalam perenggan 4,” menurut Tengku Maimun semasa membacakan alasan penghakiman.
Ujarnya, perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan/tiruan seperti
sebuah syarikat.
“Dengan ini kami mendapati sesebuah syarikat tidak boleh ‘menganut’ agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam ungkapan Butiran 1,” katanya.
Sebagai rekod, SIS didaftarkan sebagai sebuah syarikat.
Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan diwartakan oleh kerajaan negeri, menjadikannya berkuat kuasa dari segi undang-undang di Selangor.
Ia turut menggesa larangan terhadap penerbitan yang mengandungi unsur liberalisme dan pluralisme, rampasan bahan sedemikian, serta penyekatan laman web berkaitan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berkata rampasan bahan penerbitan dan sekatan laman web berkaitan, iaitu perenggan kedua dan ketiga fatwa tersebut, adalah melangkaui bidang kuasa jawatankuasa fatwa.
Alaasan ringkas itu menyatakan bahawa panel hakim tidak menyatakan pendapat tentang isi kandung fatwa khusus berkenaan kesesatan fahaman liberalisme dan pluralisme memandangkan ia dalam bidang kuasa pihak jabatan agama.
Sebaliknya, ia adalah berkenaan had-had kuasa responden-responden untuk menggubal fatwa tersebut dari segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan.
“Kami mengetepikan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan membenarkan rayuan perayu-perayu setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada
pertubuhan dan institusi dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan,” katanya.
Dalam sidang media, SIS berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan yang diberikan mahkamah.
“Kita mendapat pengesahan bahawa organisasi kami mempunyai hak yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan untuk terus bersuara dan berjuang untuk hak perempuan,” kata Rozana Isa, pengarah eksekutif SIS.
SIS mencabar kesahihan fatwa tersebut melalui semakan kehakiman di mahkamah sivil sejak tahun 2014. Pertubuhan itu berhujah bahawa fatwa tersebut melanggar hak perlembagaan dan melebihi bidang kuasa pihak berkuasa agama Selangor.
Namun Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa fatwa tersebut adalah sah dan tidak melanggar Perlembagaan, serta menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal berkaitan Islam, yang terletak di bawah Mahkamah Syariah mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi