BANGI, 22 ZULHIJJAH — Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor terhadap Sisters In Islam (SIS) Forum telah mengakibatkan salah faham kononnya fatwa boleh dicabar di mahkamah sivil.
Pandangan itu disuarakan oleh Zainah Anwar, pengasas SIS Forum pada sidang akhbar selepas penghakiman didengar di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini yang mana Zainah menyatakan bahawa fatwa boleh dicabar, selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan organisasi itu.
Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak menyentuh bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Selangor dalam menetapkan hukum syarak.
“Pandangan SIS itu tidak melafazkan apa yang dijawab oleh mahkamah. Mahkamah menyatakan fatwa tersebut tidak boleh dicabar berkaitan hukum-hakam.
“Itu bidang kuasa jawatankuasa fatwa. Yang dicabar ialah apabila fatwa keluar daripada bidang kuasa jawatankuasa,” katanya pada sidang akhbar.
Haniff merujuk kepada perenggan dua dan tiga fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor terhadap SIS pada tahun 2014 yang mengisytihar organisasi itu sebagai sesat.
Perenggan kedua fatwa menyatakan mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan
boleh dirampas.
Perenggan ketiga pula menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam
dan Hukum Syarak.
Menurut alasan penghakiman, kedua-dua perenggan tersebut tidak berkait dengan orang yang menganut agama Islam, selain berkaitan dengan bidang kuasa agensi Persekutuan.
Spesifiknya, perenggan kedua berkait dengan seksyen 2 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 manakala perenggan ketiga adalah berkait dengan seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mahkamah tertinggi negara hari ini mengesahkan fatwa yang tersebut yang melarang menyatakan mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Bagaimanapun, fatwa tersebut tidak terpakai kepada institusi dan organisasi.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, keputusan berkenaan tidak menyekat jawatankuasa fatwa untuk bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan SKMM bagi menegakkan fatwa berhubung individu yang menganut fahaman pluralisme dan liberalisme.
“Jawatankuasa fatwa dan Majlis Agama Islam Selangor boleh bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk menguatkuasakan fatwa terhadap mana-mana individu yang menganut fahaman pluralisme dan liberalisme,” katanya.
Haniff dalam pada itu berkata, pihak berkuasa agama masih boleh mengambil tindakan terhadap individu-individu yang berkait dengan pluralisme dan liberalisme yang disebarkan oleh pertubuhan berkenaan. Katanya, fatwa yang mengandungi hukuman syarak kekal tidak boleh dicabar Mahkamah Sivil.
“Keputusan hari ini tidak mencacatkan fatwa utama yang menyatakan bahawa pluralisme dan liberalisme melanggar hukum Islam.
“Jangan salah faham, tindakan hari ini tidak membuka pintu kepada cabaran terhadap fatwa. Keputusan itu menutup pintu kepada cabaran fatwa selagi jawatankuasa fatwa faham dan tidak membuat fatwa terhadap syarikat dan persatuan.
“Mahkamah tidak akan mencampuri inti pati fatwa,” katanya.
Tambahnya, walaupun tiada keperluan untuk jawatankuasa fatwa meminda fatwa yang telah dikeluarkan itu, namun jawatankuasa boleh menambah baik fatwa jika terdapat keperluan mengikut budi bicara anggota jawatankuasa.
Sementara itu, Peguam Yusfarizal Yusoff berkata fatwa berkaitan liberalisme dan pluralisme telah pun dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.
“ini bukan fatwa baharu. Mahkamah hari ini mengesahkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai yang difatwakan negeri Selangor yang mengulangi Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Ia bermaksud umat Islam tidak boleh berpegang kepada fahaman pluralisme dan liberalisme,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi