BANGI, 20 ZULHIJJAH — Pelbagai program dan sambutan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta pentabdir sekolah dilihat membebankan guru selain mengurangkan tempoh masa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), sekali gus menjejaskan mutu pembelajaran murid-murid.
Sejak permulaan takwim sekolah pada Februari lalu sehingga Jun ini, guru-guru mendakwa terlalu banyak program yang perlu diisi.
Antaranya orientasi murid baharu, program-program berkaitan bulan Ramadan dan Syawal, Majlis Pemakaian Jalur Gemilang, hari sukan dan rentas desa selain pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).
Terbaru, guru-guru wajib menyertai AI-4 Educators yang menyediakan latihan kepada 400,000 guru di seluruh negara.
Bercakap kepada TV Pertiwi, seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah KPM berkata, sukar untuk guru mengejar silibus kerana mengejar program-program tersebut, sehingga menjadi ‘burn out’.
“Cikgu kena hantar budak sekolah ke program-program luar, cikgu jugalah kena habiskan silibus, cikgu juga terlibat dengan program-program sekolah.
“Ada sambutan di peringkat nasional yang sudah dibatalkan, tetapi di peringkat sekolah ia masih dilaksanakan. Ini mengakibatkan PdP terganggu,” katanya.
Katanya, situasi itu lebih teruk bagi guru subjek yang perlu mengikut silibus dengan ketat seperti sains dan matematik.
Seorang lagi guru berkata waktu PdP juga diganggu dengan pelbagai jenis ujian dan penilaian seperti ujian segak, psikometri, celik digital dan ujian kesihatan.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, takwim 2025 lebih pendek berbanding tahun-tahun lepas yang mana takwim sekolah tahun lepas dijadualkan kembali kepada Januari.
Sebagai rekod, takwim sekolah berubah selepas Covid-19 yang menyaksikan penutupan sekolah bagi membendung wabak berkenaan yang mana takwim bermula lebih lewat dan berakhir pada tahun berikutnya.
“Secara langsung banyak perkara akan menjadi padat. Isunya pelaksanaan apa juga aktiviti-aktiviti di sekolah sepatutnya dikurangkan untuk memberi peluang kepada guru-guru mengajar.
“Ramai orang berkata tidak mengapa silibus tidak habis diajar kerana tiada lagi peperiksaan, tetapi silibus kita bersifat berterusan dan bersambungan.
“Jika kita tidak melaksanakan apa yang dirancang, maka akan ada murid-murid yang ketinggalan,” katanya.
Jelas Dr Anuar, keadaan itu menyebabkan guru mempercepatkan silibus sehingga menjejaskan murid-murid yang kurang berkebolehan.
Anuar dalam pada itu berkata ekosistem pendidikan akan berubah secara keseluruhan apabila satu-satu perkara diubah oleh perancang pendidikan.
“Tindakan membuka sekolah pada Januari itu betul, tetapi persiapan pada ekosistem mesti juga betul.
“Aktiviti mesti dikurangkan, silibus mesti diperkemaskan, guru-guru mesti diberi bantuan dengan lebih banyak dan guru-guru tak boleh diberi beban sehingga hilang fokus. Pengetua juga tidak boleh memaksa guru-guru membuat urusan lain,” katanya.
Seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) pula berkata, program-program tersebut tidak menjejaskan waktu PdP.
“Di SBP, kebanyakan program dijalankan di luar waktu PdP. Program-program orientasi, sukan, penilaian dan ujian sememangnya termasuk dalam takwim sekolah.
“Semuanya atas kebijaksanaan pentadbir sekolah untuk pelaksanaan program-program tersebut.”
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi