BANGI, 21 ZULHIJJAH – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan Malaysia memanggil Sidang Khas ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk merumuskan langkah segera dalam menangani krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza serta ketegangan antara Israel dan Iran.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, langkah tersebut perlu merangkumi gencatan senjata menyeluruh di Gaza dan antara Israel dan Iran, akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan, sokongan terhadap siasatan bebas jenayah perang serta dorongan diplomasi tuntas ke arah penyelesaian adil berteraskan hak asasi rakyat Palestin.
“Malaysia mesti menjadi suara yang memecah kebisuan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan mendalam terhadap tragedi berpanjangan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023 yang kini telah memasuki hari ke-620.
“Lebih memilukan, ini bukan sekadar konflik sementara, tetapi penderitaan berterusan yang berakar sejak pengusiran besar-besaran rakyat Palestin pada tahun 1948.”
Katanya, laporan antarabangsa menunjukkan lebih 55,000 rakyat Palestin terbunuh, puluhan ribu cedera, dan hampir keseluruhan penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta telah diusir dari tempat tinggal mereka.
“Mereka kini terperangkap dalam keadaan darurat—tanpa makanan, air bersih, ubat-ubatan, mahupun perlindungan yang selamat. Ancaman kebuluran dan penyakit semakin memburuk.
“Ini bukan sekadar genosid, tetapi satu bentuk hukuman kolektif yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli asas kemanusiaan.”
Muhyiddin turut mengikuti dengan dekat kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan serantau, khususnya perkembangan antara Israel dan Iran.
Katanya, kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang menggesa rakyat awam Iran “segera meninggalkan Tehran” memberi isyarat jelas bahawa rantau ini sedang diheret ke arah peperangan berskala besar yang akan menggugat kestabilan global.
“Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Perhimpunan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak boleh berdiam diri. Kita mesti tampil memimpin.”
Tambah beliau, kepimpinan dunia Islam amat ditagih pada saat genting ini, namun realitinya adalah kelompongan kepimpinan yang membimbangkan.
“Satu kekosongan moral dan strategik yang melumpuhkan usaha kolektif untuk menegakkan keadilan.
“Malaysia tidak harus sekadar menunggu. Kita mesti mara ke hadapan dengan prinsip teguh, keberanian moral yang konsisten, dan kewibawaan diplomatik yang mencerminkan suara kemanusiaan.”
Perikatan Nasional, katanya, berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang tertindas dan menzahirkan solidariti terhadap semua mangsa kezaliman khususnya di rantau Timur Tengah.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara anggota ASEAN dan OIC, agar tidak lagi bertangguh dalam menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap kemanusiaan sama ada di Palestin atau di Iran demi kemaslahatan dan maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi