Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 10 RAMADAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat keputusan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali radio Era FM.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata, syarikat itu bagaimanapun dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik melampau.
Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara.
“Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen sama,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, MCMC telah menyerahkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen yang mengendalikan radio Era FM susulan video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio yang didakwa mempersenda agama Hindu.
Menerusi kenyataan itu, MCMC memaklumkan bahawa pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi