BANGI, 13 ZULHIJJAH – Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), akan direman sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, lelaki berusia 40 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Taiping akibat kecederaan yang dialami dalam nahas berkenaan.
“Ketika ini, pemandu bas terbabit masih dirawat. Siasatan lanjut hanya akan dilakukan sebaik beliau dibenarkan keluar hospital,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dalam sidang media sebelumnya, Noor Hisam memberitahu bahawa polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian itu.
Siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pelbagai aspek, termasuk dakwaan bahawa bas tersebut dipandu laju.
Nahas tragis berlaku pada kira-kira jam 1 pagi Isnin apabila bas dari Terengganu menuju ke Kampus UPSI di Tanjung Malim dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian menyebabkan bas hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh pembahagi jalan.
Seramai 15 pelajar UPSI disahkan meninggal dunia manakala 27 lagi mengalami kecederaan. Turut cedera ialah pemandu bas dan kelindannya berusia 54 tahun.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi