‘Kita jumpa di mahkamah’ – Fahmi Reza

BANGI, 12 ZULHIJJAH — Aktivis dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa selepas mendakwa haknya untuk keluar negara dinafikan tanpa sebarang justifikasi rasmi.

Dalam kenyataan terbuka semalam, beliau membidas kerajaan yang disifatkannya gagal mengambil tanggungjawab terhadap insiden sekatan ke atas dirinya di pintu keluar negara.

“Aku dah baca jawapan Anwar Ibrahim yang tuding jari pada polis, dan kenyataan polis yang tuding jari pula pada imigresen, kononnya ‘tiada sebarang sekatan rasmi’ dari kerajaan, dan berlaku ‘kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara’,” katanya.

Fahmi turut mempersoalkan keengganan mana-mana pihak kerajaan untuk bertanggungjawab atas tindakan yang menjejaskan kebebasan pergerakannya.

“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambik tanggungjawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat.

“Korang senang je cakap ‘tiada sekatan rasmi.’ Tapi realitinya, aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat,” tegasnya.

Menurutnya lagi, insiden tersebut bukan sahaja membazirkan masa dan wang ringgitnya, malah tidak diakui secara terbuka oleh mana-mana pihak yang terlibat.

“Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah,” katanya sambil menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah.

“Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah. Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah,” katanya.

Fahmi juga menyatakan keyakinan bahawa kerajaan tidak harus dibiarkan kebal daripada undang-undang.

“Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat patut berani melawan. Rakyat patut tak takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyindir gesaan supaya menggunakan saluran yang betul.

“Korang selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” katanya,

Fahmi Reza dikenali sebagai seorang aktivis yang sering menggunakan seni visual sebagai medium kritikan politik dan sebelum ini pernah berdepan beberapa siasatan di bawah pelbagai undang-undang berkaitan kandungan media sosial.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel dedah terowong bawah hospital Gaza, dakwa temui mayat Mohammed Sinwar

Next Post

Kerahan Pengawal Persekutuan ke Los Angeles cetus perbalahan politik

Related Posts