AKTP hasrat bina semangat kepemimpinan masyarakat

BANGI, 7 ZULHIJJAH — Akademi Kepemimpinan Tun Perak (AKTP) yang dilancarkan pada 31 Mei lalu berhasrat untuk menyumbang sesuatu ke arah pembinaan semangat kepemimpinan dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif AKTP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, maksud kepemimpinan adalah wujud kebijaksanaan dalam diri masyarakat, mempunyai keberanian untuk bertindak dan kemampuan untuk mencorakkan kehidupan ke arah yang lebih baik tanpa mengira posisi dalam masyarakat.

Menurutnya, majlis pelancaran AKTP di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, berjaya mengumpulkan ramai negarawan, ilmuwan, aktivis dan pakar pelbagai bidang dalam satu majlis dengan tujuan yang sama, iaitu untuk mengusahakan satu perubahan kepada masyarakat Malaysia, terutama generasi mudanya.

“Masyarakat kita ada dua sisi yang amat berbeza. Ada sisi yang dirasai oleh orang masjid surau…sisi ini adalah sisi terang dalam masyarakat yang menampilkan imej baik. Tetapi di balik satu lagi ada sisi gelap yang dirasai oleh kelompok masyarakat yang lain…sisi ini menakutkan dan membimbangkan. Kisah pelajar cemerlang dan keluarga bahagia itu satu sisi…kisah Abang CCTV dan bilik arak bawah surau itu sisi satu lagi.

“Jika tidak dilakukan sesuatu dengan segera, masyarakat akan makin teruk dan makin sukar diselamatkan. Sekarang apa yang menjadi sisi gelap dalam masyarakat sudah mula masuk ke alam orang baik-baik. Ia menjadikan sama ada orang baik yang bertudung juga curang, atau orang solat di surau juga makan rasuah. Atau sekurang-kurangnya menjadikan orang baik tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling dan hidup berinteraksi hanya dengan persekitaran sempit yang dia perlu hadapi hari-hari sahaja,” katanya dalam laman sosialnya, hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menjayakan pelancaran AKTP, terutama kepada dua orang tokoh, iaitu Tuan Haji Aminudin Yahaya dan Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan. 

Begitu juga, katanya kepada Majlis Penasihat Gabungan Nasionalis yang tidak mampu disebutkan satu demi satu namanya serta semua yang telah berbincang lebih setahun berkenaan idea ini hingga lahir AKTP dengan wajah yang ada sekarang.

Sementara itu, beliau berkata nama Tun Perak diangkat untuk mengingatkan masyarakat mengenai satu susuk tubuh hebat pada zaman silam, iaitu peribadi yang mencorakkan suasana aman, harmoni, makmur dan kuat berdaulat dalam empayar Melaka yang hebat.

Katanya, Tun Perak yang berada di belakang empat orang sultan Melaka selama lebih 40 tahun memainkan peranan dengan penuh teliti dan bijaksana, namun kadang-kadang namanya tenggelam kerana sejarah lebih mencatatkan jasa sultan dan laksamana. 

“Tetapi tulang belakang yang mencorakkan empayar Melaka yang hebat itu adalah beliau. Ramuan kepemimpinan ini cukup pada beliau. Keberaniannya terbukti dalam perang menentang Siam. Diplomasinya terbukti dengan rundingan damainya dengan empayar China. 

“Kebijaksanaan dan pandang jauhnya terbukti dalam kisah hukuman ke atas Hang Tuah. Penghormatan sultan, pembesar istana  dan seluruh rakyat jelata terhadapnya tidak diragui,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Program LGBT parti politik 21 Jun, polis panggil penganjur

Next Post

PETRONAS nafi dakwaan akan tinggalkan Kanada

Related Posts