Ahmad Fauwaz Mufti Wilayah Persekutuan baharu

BANGI, 28 ZULKAEDAH — Tokoh ilmuwan Islam prolifik dalam pelbagai medan keilmuan, dakwah serta kefatwaan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil, dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 23 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan pelantikan itu yang mendapat perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebagai cerminan keyakinan tinggi negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Ahmad Fauwaz dalam memimpin urusan kefatwaan negara secara berintegriti dan berhikmah.

“Beliau yang aktif dalam pelbagai platform dalam negara dan antarabangsa adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (2000 – 2004) serta memperoleh pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (2015 – 2016). 

“Sahibus Samahah juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Religious Advisor and Auditor (CSAA) AAOIFI,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Dr Mohd Na’im berkata, Sahibus Samahah aktif menyumbang dalam pelbagai struktur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) termasuk sebagai Ahli Mesyuarat Kepakaran Belia MAIWP, Ahli Jawatankuasa Syariah Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Syariah KWSP.

Menurutnya, beliau turut aktif dalam pelbagai forum hukum Islam yang menjadi rujukan negara, manakala dalam kerangka dakwah dan pendidikan Islam, berperanan sebagai pendidik serta penulis yang prolifik dalam pelbagai isu kontemporari Islam, khususnya dalam bidang akidah, pemikiran dan dakwah.

“Saya yakin dan percaya bahawa beliau akan memperkukuh lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam memartabatkan kefatwaan yang relevan dengan keperluan masyarakat Islam Malaysia hari ini, berasaskan Maqasid Syariah, Rahmah dan kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli.

“Semoga Allah SWT merahmati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk terus berkhidmat demi kemaslahatan umat,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sijil halal dua hotel lima bintang ditarik kerana anjur parti arak

Next Post

Volvo bakal buang 3,000 pekerja, tekanan tarif AS jejas industri Eropah

Related Posts