Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Sebanyak 21 kes berkaitan raja, agama, kaum (3R) telah dipertuduh di mahkamah sepanjang tempoh 2023 hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, 13 kes berkenaan dituduh di mahkamah sepanjang 2023 yang mana lapan daripadanya adalah berkaitan institusi diraja, tiga kes menyentuh isu agama manakala dua kes lagi melibatkan perkauman.
“Bagi kes melibatkan institusi diraja, tiga kes masih dalam peringkat perbicaraan, dua kes telah dilepaskan dan dibebaskan dan tiga kes telah dijatuhkan hukuman.
“Semua tiga kes melibatkan isu agama yang dituduh pada 2023 telah dijatuhkan hukuman manakala bagi dua kes menyentuh isu perkauman yang dituduh, satu masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes pendakwaan berkaitan 3R sejak awal 2023.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, sebanyak lapan kes melibatkan isu 3R telah dituduh pada tahun ini setakat September lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak lima kes yang menyentuh institusi diraja dan tiga kes melibatkan isu agama manakala tiada kes dituduh melibatkan perkauman.
“Bagi lima kes melibatkan institusi diraja yang dituduh pada 2024, empat kes masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman.
“Semua tiga kes berkaitan isu agama yang dituduh pada 2024 telah dijatuhkan hukuman,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI