Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 ZULKAEDAH – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaan untuk tidak bertanding jawtaan nombor dua parti itu dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi menyatakan pendirian itu ketika mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya pertemuan dengan Anwar yang juga Presiden PKR diadakan sebanyak dua kali manakala sekali dengan Saifuddin.
Jelas Rafizi, pendirian selepas beliau bimbang kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang.
“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU-16.
“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini.
“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya.
Rafizi berkata, beliau turut menyuarakan perkara sama kepada Saifuddin dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan, agar Ahli Parlimen Pandan itu boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan.
“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari Kabinet.
“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi