Oleh Akmal Ahmad
BANGI,8 ZULKAEDAH – Kumpulan doktor swasta menggesa kerajaan menyemak semula penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap bidang perubatan yang didakwa dilaksanakan tanpa rundingan dan libat urus.
Bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, bantahan terhadap penggunaan akta tersebut kerana ia terletak di bawah penguatkuasaan kementerian lain dan bukannya Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih layak untuk mengawal selia sektor tersebut.
Katanya, banyak persoalan telah dibangkitkan mengenai asas penggunaan Akta 723 serta kaedah pelaksanaannya, namun sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan.
Ujar beliau, pengawal seliaan sektor kesihatan tidak boleh disamakan dengan sektor lain kerana bidang itu merupakan satu perkhidmatan profesional.
“Sektor kesihatan adalah satu perkhidmatan profesional. Jadi kalau kedai runcit, siapa-siapa boleh buka kedai runcit.
“Untuk buka satu klinik swasta, ada banyak (syarat). Individu itu perlu jadi doktor, dan untuk menjadi doktor perlu lima hingga enam tahun belajar bidang perubatan.
“Lepas empat tahun, (perlu) khidmat dengan kerajaan, lepas itu baru boleh jadi doktor. Jadi, tak boleh samakan dengan (sektor lain),” katanya kepada TV Pertiwi selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.
Ditanya mengenai keperluan mempamerkan harga ubat-ubatan di klinik swasta, Dr Thirunavukarasu menegaskan, pihaknya tidak menolak sebarang bentuk ketelusan untuk memudahkan pengguna.
Namun, beliau menjelaskan, isu itu tidak relevan dengan tujuan seorang pesakit hadir ke klinik kesihatan swasta.
Malah, beliau berkata, klinik swasta juga tidak boleh menjual ubat kepada sesiapa sebarangan.
“Di klinik swasta, pesakit datang sebab dia sakit. Bila dia sakit, dia jumpa doktor untuk buat pemeriksaan klinikal dan konsultasi sebelum didiagnosis.
“Bila selesai diagnosis, baru doktor beritahu ubat apa dia akan beri. Jadi, jika letak ubat dekat luar, (proses) ini seolah-olah sudah terbalik.
“Kecuali kalau kita katakan memang untuk jual ubat. Itu lain. Klinik tidak boleh jual ubat untuk sebarangan orang. Memang ada regulasi dan Akta untuk itu,” jelas beliau.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut jugau untuk menuntut kenaikan fi yang tidak pernah diubah sejak tahun 2006.
“Konsultasi GP, fi konsultasi pengamal perubatan am (GP) yang sedia ada ini adalah RM10-30 itu berdasarkan cadangan MMA pada 1992 di mana kerajaan menggunakan cadangan itu untuk jadikan sebagai peraturan pada Akta 586 bila dikuatkuasakan pada 2006.
“Sampai sekarang tidak ada revisi. Jadi bila tiada review, sudah tentu semua barang naikkan? Inflasi, gaji naik..
“Dulu masa saya sekolah bihun sup 50 sen boleh makan, sekarang bihun sup yang sama sudah RM8. tapi konsultasi tetap sama.Jadi kalau kita nak pastikan kelestarian klinik perubatan swasta di Malaysia saya rasa sistem dan dasar itu juga kita perlu dipermudahkan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi