Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 8 ZULKAEDAH – Seorang penyokong kuat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sidang khas Parlimen yang diadakan semalam bagi membincangkan tarif Amerika Syarikat sebagai ‘hambar’ di sebalik pembentangan Anwar yang digambarkan sebagai ‘business as usual’.
Wan Muhammad Hasni Wan Sulaiman berkata, penggulungan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sebagai tidak mempunyai kesimpulan.
“Kepada rakyat yang mendengar, mereka akan tertanya-tanya: ‘Apa sebenarnya yang mereka ini semua nak buat?’ Tiada kejelasan, tiada hala tuju yang jelas,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Tengku Zafrul sebelum ini mengunjungi AS untuk membincangkan isu tarif yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump kepada 180 negara termasuk Malaysia.
Tambah Zafrul, AS menuntut empat perkara sebelum bersetuju mengurangkan tarif iaitu defisit perdagangan AS dengan Malaysia, halangan bukan tarif, perlindungan teknologi dan pelaburan.
Sebagai rekod, Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24%. Zafrul turut berkata rundingan rasmi antara kedua-dua negara akan bermula hari ini dengan sifar tarif menjadi objektif utama rundingan berkenaan.
Wan Muhammad Hasni yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Abrar Corporation berkata, dunia sedang menyaksikan proses ‘creative destruction’ yang disengajakan.
“Inilah yang saya maksudkan dengan ketidaktentuan yang radikal. Maka, pendekatan ‘biasa’ tidak lagi mencukupi. Ia memerlukan ‘great reset’.
“Rundingan sekadar mengurangkan tarif tidak boleh menjadi strategi teras. Kita perlu andaikan bahawa taktik Amerika hanyalah untuk melengahkan masa. Mereka beri sedikit harapan agar kita tidak mengambil tindakan sebenar,” katanya.
Ujar Wan Muhammad Hasni, AS dilihat akan mula mempersoalkan dasar Bumiputera, kontrak kerajaan, pensijilan halal yang dikenali sebagai halangan bukan tarif.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi