BANGI, 5 SAFAR – Dapatan awal kajian prakebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga utama negara yang telah disiapkan menunjukkan potensi besar tenaga itu bagi menjamin bekalan yang stabil, bersih dan boleh dipercayai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata hasil kajian itu turut mencadangkan penubuhan enam pasukan petugas teknikal dengan tiga daripada pasukan itu di bawah tanggungjawab Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Tiga pasukan petugas teknikal yang dipertanggungjawabkan kepada MOSTI, melibatkan teknologi dan pembangunan industri, pembangunan kompetensi dan kepakaran nuklear serta rangka kerja perundangan dan kawal selia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang ingin tahu mengenai kesediaan Malaysia dalam meneroka penjanaan tenaga nuklear dan bentuk program kerjasama yang telah dijalinkan dengan agensi antarabangsa berkaitan dengan sains dan teknologi nuklear.
Lih Kang berkata, kerajaan sedang meneroka tenaga nuklear sebagai antara pilihan utama bagi memastikan kelestarian tenaga negara menerusi kerjasama strategik antara MOSTI dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Ketika ini, katanya negara mempunyai 323 pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia dan 36 pegawai sains di Jabatan Tenaga Atom yang berkhidmat dalam pelbagai bidang teknologi nuklear dan teknologi berkaitan.
Sementara itu, katanya Malaysia telah memeterai perjanjian bagi Kerjasama Strategik Nuklear Awam dengan Amerika Syarikat pada 10 Julai lalu, sebagai pemangkin kepada kerjasama jangka panjang dalam membangunkan keupayaan tenaga nuklear awam Malaysia secara selamat dan bertanggungjawab.
“Ia merupakan antara langkah selain rangkaian kerjasama dengan China dan Rusia yang dapat memperkukuh usaha Malaysia membangunkan program tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik secara terancang,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi