Mahkamah tolak saman fitnah IKRAM terhadap Ridhuan Tee RM200 juta

Oleh Akmal Ahmad

 

BANGI, 2 ZULKAEDAH – Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman fitnah berjumlah RM200 juta yang difailkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) terhadap pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

 

Hakim memutuskan bahawa sebagai persatuan dan menurut Akta Persatuan, IKRAM atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seumpamanya, tidak boleh menyaman fitnah terhadap individu.

 

Mahkamah bukan sahaja menolak tuntutan saman tersebut, malah turut menolak permohonan plaintif untuk memadam artikel yang dipersoalkan serta permintaan agar Ridhuan Tee membuat permohonan maaf secara terbuka.

 

Menerusi kenyataan di Facebook, Ridhuan Tee melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah dan menyifatkan ia sebagai kemenangan kepada perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara.

 

“Alhamdulillah, segala puji syukur ke hadrat Allah SWT kerana menang kes saman IKRAM RM200 juta terhadap saya.

 

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak tuntutan tersebut. Hebat IKRAM meletakkan harga RM200 juta terhadap diri saya dan akhirnya ditolak oleh hakim yang bijaksana,” katanya. Beliau turut berterima kasih kepada barisan peguam, Tetuan Zulpadli & Edham, Tuan Ashmadi, Tuan Bushro dan Belle Nabilah serta adik, Burhan Tee. 

 

“Begitu juga dengan saksi saya, Dr Fuad, Ustaz Fadli, Prof Kayu, Prof Badlisham. Jasa kalian tidak akan dapat saya lupakan hingga ke akhir hayat. 

 

“Terima kasih juga kerana amat memahami harga sebuah perjuangan dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

 

“Saya turut menyambut penuh hati saranan Yang Arif Hakim, meletakkan kepentingan ummah di hadapan berbanding yang lain. Saya percaya dan yakin, martabat Islam, ummah dan kebenaran akan terus dipertahankan oleh saya selagi hayat dikandung badan, In shaa Allah,” ujarnya. 

 

Terdahulu, IKRAM memfailkan saman kepada Ridhuan susulan tiga kiriman pensyarah itu di laman Facebook pada 2020.

 

Saman tersebut merujuk kepada beberapa artikel tulisan Ridhuan Tee yang diterbitkan di laman Facebook beliau pada April 2020, antaranya bertajuk “Ikramisasi Ketika Wabak Covid-19 Melanda” (15 April 2020) dan “Kenapa IKRAM Begitu Baik Dengan Ultra Kiasu, Dong Zong?” (27 April 2020). Artikel-artikel itu didakwa mencemarkan reputasi dan menjatuhkan imej IKRAM di mata masyarakat.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sekolah bukan tempat normalisasi hiburan lalai

Next Post

Sikap anti Melayu, Islam bukan dinafikan dengan beri peruntukan sahaja – Tun Faisal

Related Posts