Oleh: Ziauddin Sharuddin
BANGI, 11 ZULKAEDAH – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, meminta kerajaan Selangor tidak mengulangi kesilapan lalu yang membawa kepada tragedi banjir besar di Sri Muda, Shah Alam.
Menurutnya, projek pembangunan bercampur SA04 di Seksyen 24, Shah Alam yang dirancang di kawasan tanah rendah yang selama ini berfungsi sebagai kawasan tadahan semula jadi, berpotensi mengundang malapetaka jika diteruskan.
“Kita tidak lupa apa yang berlaku di Sri Muda. Kawasan itu juga asalnya zon takungan air tetapi dibangunkan sebagai kawasan perumahan. Hasilnya, banjir besar 2021 yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau berkata tragedi itu bukan semata-mata bencana alam, tetapi berpunca akibat kegagalan perancangan bandar dan kerakusan pembangunan.
“Jangan tunggu tragedi baru hendak bertindak. Kali ini rakyat sudah bersuara lebih awal dan suara itu wajib diberi perhatian,” katanya lagi.
Mohamed Sukri menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid yang mempertahankan projek SA04 sebagai mengelirukan dan seolah-olah lebih membela pemaju daripada rakyat.
Katanya, walaupun penduduk menyokong usaha pemulihan Sungai Klang, mereka membantah sekeras-kerasnya pembangunan di kawasan takungan kerana ia menggugat keselamatan komuniti sekitar Shah Alam yang semakin terdedah kepada fenomena cuaca ekstrem.
Mengulas mengenai manfaat projek bernilai hampir RM900 juta itu, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa ia akan membawa situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak.
“Yang menang hanya pemaju. Sedangkan penduduk terpaksa menanggung sekolah yang sesak, masjid yang tidak cukup ruang, trafik yang semakin teruk, dan risiko banjir yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa lima sesi `townhall’ (sesi libat urus awam) telah diadakan bersama penduduk dan dalam setiap sesi itu, bantahan konsisten disuarakan oleh pelbagai pihak, termasuk persatuan penduduk, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan tokoh masyarakat, namun semua suara itu tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Kalau bantahan berulang kali dibakulsampahkan, itu bukan libat urus tapi pemaksaan. Dialog bukan untuk menyenangkan pemaju, tapi menyelamatkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau mengecam sindiran terhadap negeri-negeri SG4 (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) yang ditadbir PAS, yang disifatkan sebagai usaha mengalih perhatian daripada kelemahan pengurusan banjir di bawah kerajaan negeri Selangor sendiri.
“Banjir di Shah Alam berlaku semasa pemerintahan Pakatan Harapan. Jangan salahkan negeri lain sedangkan sistem saliran sendiri pun gagal diurus,” katanya.
Mohamed Sukri mengulangi pendirian bahawa pihaknya tidak menolak pembangunan, tetapi menolak pengkhianatan terhadap prinsip kejuruteraan bandar, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Beliau turut mencabar Danial Al Rashid untuk hadir ke sesi dialog terbuka bersama penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pemaju bagi membincangkan fakta sebenar di lapangan.
“Jika tragedi seperti Sri Muda berulang di Seksyen 24, hari ini kami telah beri amaran,” tegasnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi