Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 1 ZULKAEDAH – Sekolah sepatutnya mengangkat nilai ilmu dan adab, bukan menjadi pentas normalisasi budaya hiburan yang melalaikan, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohammad Riduan Muhammad.
Beliau berkata, generasi pelajar yang masih rapuh jiwanya memerlukan bimbingan dan keteladanan, bukan tontonan yang mencampakkan mereka dalam dunia keseronokan kosong.
Katanya, sebagai pendidik, guru adalah model pertama yang dilihat oleh anak-anak di sekolah.
“Bagaimana mungkin tempat yang sepatutnya menjadi medan suci untuk menimba ilmu, membentuk sahsiah dan memperkasa akhlak, kini dicemari dengan budaya tarian mengikut trend TikTok di majlis-majlis sekolah.
“Jika teladan yang ditonjolkan adalah hiburan berlebih-lebihan, bagaimana mungkin kita mengharap lahirnya generasi beradab, berdisiplin dan bermaruah?” soalnya dalam penulisan beliau.
Justeru, Mohammad Riduan menyeru Kementerian Pendidikan untuk memandang berat isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang budaya seumpama di sekolah.
Selain itu, beliau turut berharap para guru mempertahankan maruah profesion perguruan.
“Jangan kita sia-siakan amanah membentuk tunas bangsa hanya kerana ingin kelihatan ‘sporting’ atau mengikut arus.
“Remaja kita adalah masa depan negara. Merekalah pimpinan negara dalam tempoh 15-20 tahun akan datang.
“Kita berhutang kepada mereka untuk memberikan contoh yang terbaik. Ummah Fadhilah Tonggak Peradaban,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi