Oleh Akmal Ahmad
BANGI,22 SYAWAL – Kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang adalah menghairankan lebih-lebih lagi apabila dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Malah, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melihat isu ini seperti sudah ‘berjangkit’.
“Kalau kesalahan pertama, mungkin tidak mengapa, namun kalau berkali-kali ini ia seolah-olah sebuah paten kesilapan. Adakah ia disengajakan?
“Dalam hadis, terdapat banyak peristiwa yang direkodkan yang menunjukkan tentang kepentingan bendera dalam perjuangan kebangsaan. Dikatakan Rasulullah mula memasuki Madinah menggunakan bendera Baginda sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau,dalam perjuangan Islam, mereka yang memegang bendera adalah mereka yang bukan calang-calang.
“Bendera Islam ketika dalam Uhud di pegang oleh Mus’ab ibn Umayr sehinggalah beliau syahid terputus tangannya dalam mempertahankan panji Islam.
“Ketika Perang Khaibar Rasulullah mengumumkan bahawa bendera Islam akan dipegang oleh mereka yang disayangi Allah.
“Aku akan berikan bendera ini esok kepada seorang lelaki yang Allah membuka (Khaibar) ini melalui tangannya. Dia menyayangi Allah dan RasulNya dan Allah dan RasulNya menyayanginya. (HR al-Bukhari),” katanya.
Dr Ahmad Sanusi berkata, disebabkan begitu pentingnya bendera ini, Rasulullah menamakan nama-nama tertentu yang mempunyai kedudukan di sisi Rasulullah untuk mendaulatkan perjuangan dan bendera Islam.
“Perkara ini boleh diperhatikan dalam Perang Mu’tah dimana Rasulullah telah menamakan Zaid ibn Haritha, dan Ja’far Abu Talib dan Abdullah ibn Rawahah yang mana kesemua mereka bukan calang manusia.
“Mereka mengangkat dan memartabatkan bendera yang membawa semangat perjuangan Islam. Hari ini terkadang terdapat sebahagian warga negara kita sendiri yang memandang remeh isu bendera bahkan merendahkan bendera negara kita,” ujarnya.
Selepas dua akhbar ‘tersilap’ pada Jalur Gemilang dengan satunya ketiadaan bulan sabit dan satu lagi hanya 13 bucu kini muncul satu lagi yang turut memembuat kesilapan sama iaitu ketiadaan bulan sabit.
TCE Baby Expo membuat permohonan maaf susulan insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulat sabit di belakang pentas melibatkan salah satu pempamernya.
Penganjur expo jualan barangan bayi itu berkata, pihaknya mengakui ia merupakan isu sensitif yang menyinggung rakyat Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi