Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 RAMADAN — Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mendakwa tidak pernah menerima dana daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata IKRAM hanya membantu mengedarkan 400 pek makanan sumbangan USAID semasa pandemik Covid-19.
“IKRAM dengan tegas menolak sebarang tohmahan dan fitnah yang tersebar di media sosial bahawa kami pernah menerima dana dari USAID.
“Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik IKRAM serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan ini.
“Faktanya, IKRAM tidak pernah menerima sebarang bantuan atau dana dari USAID,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas sebaran di media sosial yang memasukkan IKRAM antara 40 badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang menerima dana USAID.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump minggu lalu memaklumkan akan mengurangkan bantuan asing selain mengehadkan peranan USAID.
Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan aktivis yang selama ini menerima dana secara langsung dari USAID untuk kelangsungan aktiviti mereka.
Badlishah berkata IKRAM selama ini hanya membantu USAID dalam mengedarkan pek makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, bantuan makanan itu disalurkan kepada anggota masyarakat yang memerlukan akibat bencana pandemik dan bukan untuk IKRAM atau ahlinya.
“Penglibatan IKRAM pada masa itu adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terkesan dalam situasi genting.
“Penglibatan IKRAM adalah sukarela dan tidak melibatkan sebarang bentuk kerjasama berterusan atau pertukaran dana.
“IKRAM ingin menegaskan bahawa segala aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan ini sentiasa berlandaskan prinsip kebajikan, kejujuran dan ketelusan,” katanya.
Beliau berkata semua pihak diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita palsu atau fitnah yang disebarkan tanpa usul periksa.
Katanya, IKRAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang cuba menimbulkan fitnah pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi