JUMAAT, 17 DISEMBER – Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan majoriti lebih 2/3.
Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan undi belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.
Beliau berkata tiada yang tidak menyokong rang undang-undang itu selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.
Seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Katanya, ia selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio-ekonomi mampan.