Oleh Kamil Awang
BANGI, 10 RAMADAN — Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memulangkan paku buah keras kepada UMNO kerana kini menjalinkan kerjasama dengan DAP.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata tidak wajar parti Melayu itu membenci DAP yang menyelamatkan mereka untuk terus berada di Putrajaya.
“Ini salah UMNO juga yang asyik doktrin kepada orang Melayu untuk membenci DAP. Sekarang padan mukalah. Parti yang menyelamatkan kita adalah DAP.
“Macam di Perak cuma menang sembilan kerusi. Siapa tolong kita? PAS? Bukan PAS. Kita ada sejarah dengan PAS semasa 2008 minta tolong mereka, macam-macam syarat.
“Kita kena ingat ini semua. Jangan main hentam sahaja asal DAP tidak boleh,” katanya dalam wawancara khas bersama TV Pertiwi.
Nazri berkata UMNO perlu belajar daripada sejarah kekalahan mereka dalam pilihan raya yang lepas agar kembali mendapat sokongan orang Melayu.
Katanya, pengukuhan di peringkat bahagian perlu dilakukan selepas UMNO banyak menghabiskan wang untuk penganjuran konvensyen yang tidak bermanfaat.
“UMNO ini masalahnya masih tidak sedar diri merasakan diri mereka kuat. Mereka tidak buat kerja. Mereka seronok sendiri sahaja.
“Sekarang ini kita kena lihat pada setiap bahagian jika mahu menang. Jumpa ketua bahagian nyatakan apa strategi untuk menang.
“Tidak perlulah konvensyen, menghabiskan beras sahaja. Konvensyen habis hampir sejuta ringgit. Lebih baik duit itu beri kepada bahagian untuk pastikan kemenangan,” katanya.
Bekas ahli parlimen Padang Rengas itu berkata UMNO perlu merancang strategi dari sekarang bagi memastikan kerusi yang mampu mereka menangi.
Katanya, pimpinan UMNO juga perlu terbuka menerima teguran agar segala kesilapan pada masa lalu tidak diulangi pada masa depan.
“Saya tengok hari ini tidak ke mana. Sibuk dengan konvensyen dan menyanyi. Kerja sebenar tidak dibuat. Duit lebih baik dibelanjakan kepada aktiviti bahagian bukan seronok konvensyen.
“Apa perlu konvensyen? Benda yang sama saja atur tidak bantai orang di atas. Bagaimana orang hendak tegur kesalahan dan kelemahan kita. Tidak boleh ditegur?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi