Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAABAN — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung penyebaran agama bukan Islam tampil membuat laporan polis.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata kejadian tersebut tidak boleh dibiarkan kerana bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak diseru menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuatkuasa bagi memelihara keharmonian negara.
“Semua pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian tular tersebut, perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
“Sekiranya terbukti mana-mana pihak melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam mengulas video tular beberapa individu cuba menyebar agama bukan Islam kepada umat Islam.
Katanya, insiden yang dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Kuala Lumpur itu bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 11 memperuntukkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya.
“Yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlulah dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Sirajuddin berkata JAKIM bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan memainkan peranan memantau isu-isu keagamaan.
Katanya, pemantauan itu dibuat dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan dan keamanan Malaysia.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: