Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAABAN — Ahli Parlimen PKR mendakwa kebimbangan orang Melayu terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai asas yang kukuh.
Hassan Abdul Karim berkata pengambilan tanah secara paksa di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur menjadi mimpi ngeri orang Melayu terhadap pelaksanaan URA.
“Kebimbangan sebahagian orang Melayu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) URA bukanlah sesuatu yang tidak ada asasnya.
“Satu contoh di hadapan mata orang Melayu ialah nasib penduduk Melayu yang merupakan pemilik rumah dan tanah di Kampung Sungai Baru yang bersebelahan Kampung Baru.
“Inilah yang dibimbangi oleh orang Melayu. Mereka takut kejadian di Kampung Sungai Baru itu berlaku di tempat-tempat lain di bandar apabila URA akan berkuatkuasa nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kebimbangan URA yang akan terus mengusir orang Melayu dari bandar.
Katanya, rampasan tanah di Kampung Sungai Baru menjadi bukti bahawa Perlembagaan Persekutuan tetap dicabul walau tanpa penguatkuasaan URA.
“Adakah Perkara 13 Perlembagaan yang menyatakan harta rakyat tidak boleh diambil secara paksa kecuali dengan pampasan mencukupi sudah dilaksanakan di Kampung Sungai Baru?
“Dalam banyak peristiwa pengambilan tanah oleh kerajaan ialah kedudukan rakyat begitu lemah berbanding pihak kerajaan yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Justeru, dengan adanya satu lagi akta yang berkaitan pengambilan hartanah atas nama pembangunan semula bandar, ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan rakyat,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: