Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAABAN — Khemah sementara rakyat Palestin di Tebing Barat terus menjadi sasaran kerakusan tentera penjajah Israel (IOF) dengan jentolak digunakan untuk meratakan kawasan itu.
Jurucakap Majlis Perbandaran Jenin, Basheer Matahen berkata kawasan itu kini menyerupai khemah sementara di Jabalia, utara Gaza, lapor Reuters.
“Jenin merupakan pengulangan apa yang berlaku di Jabalia. Khemah sudah tidak dapat diduduki lagi,” katanya mendakwa 12 jentolak digunakan untuk operasi itu.
Beliau berkata jentolak meruntuhkan khemah dan kawasan perumahan yang pernah menempatkan rakyat Palestin ketika Nakba 1948.
Katanya, IOF dilihat membuat persiapan untuk menetap di kawasan itu dengan membawa tangki air dan penjana elektrik di tanah seluas satu ekar.
Forum Pengajian Palestin mendakwa operasi Israel di Tebing Barat kali ini dilakukan dalam skala besar terutama dalam pengusiran rakyat di khemah sementara.
Ketuanya, Michael Milshtein berkata dua kem iaitu Nur Shams dan Jenin menjadi sasaran IOF bagi memindahkan rakyat Palestin secara besar-besaran.
“Saya tidak pasti apakah strategi peluasan itu tetapi tidak syak lagi operasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Penduduk Jenin yang dipaksa berpindah, Hassan Al-Katib berkata Israel sengaja menggunakan alasan memburu Hamas bagi mengusir penduduk dari kawasan itu.
Hassan, 85, berkata operasi IOF sejak beberapa minggu lalu masih gagal menemui pejuang dan ia membuktikan tujuan sebenar Israel.
“Israel mahu memusnahkan khemah dan kenangan secara moral dan ekonomi. Mereka mahu memadamkan nama kami dari ingatan rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu, jurucakap kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata operasi Israel di Tebing Barat sama seperti taktik yang dilakukan di Gaza.
Nabil Abu Rudeineh berkata Israel pada awal Taufan Al-Aqsa mengarahkan perpindahan rakyat Gaza dari selatan ke utara untuk membunuh penduduk Palestin.
“Kami menggesa pentadbiran Amerika Syarikat segera menghentikan pencerobohan Israel di Tebing Barat,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: