ISNIN, 3 JANUARI – Kes jangkitan ‘Fluorona’ boleh melanda Malaysia terutamanya kepada golongan rentan sekiranya tiada usaha pembendungan secara menyeluruh. Demikian menurut Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman.
Jelasnya, Fluorona adalah istilah baharu yang merujuk kepada jangkitan berganda daripada virus COVID-19 dan Influenza.
Prof Madya Dr Malina Osman, Pakar Kesihatan Awam Berkata :
“Kalau ada jangkitan berganda, lazimnya terkesan dan berdepan risiko ialah golongan rentan, warga emas serta mempunyai komorbid. Vaksin Influenza memang diberikan setiap tahun, terutama kepada golongan berisiko tetapi ia atas inisiatif,”
Doktor Malina berkata, seseorang yang dijangkiti Fluorona akan mengalami gejala seperti selesema, demam, sakit tekak, batuk, sakit kepala dan kesukaran bernafas.
Bagaimanapun, kesan perubahan iklim dan peralihan Monsun Timur Laut di Malaysia juga berupaya mengundang risiko jangkitan sama, khususnya terhadap individu dengan sistem pertahanan badan yang lemah.
Untuk rekod, kes pertama Fluorona dilaporkan berlaku di Israel, membabitkan seorang wanita hamil dan tidak mempunyai sebarang rekod pengambilan suntikan vaksin.