Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 15 Rejab — Menteri Luar Mesir menyambut baik perkembangan positif rundingan gencatan senjata dan mencadangkan satu persidangan antarabangsa bagi membangunkan semula Gaza.
Badr Abdealatty berkata Mesir bersedia menjadi tuan rumah untuk persidangan itu selepas rundingan gencatan senjata di antara Israel dan Hamas dapat direalisasikan, lapor Anadolu.
“Mesir bersedia apabila keadaan mengizinkan selepas gencatan senjata di Gaza untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bagi pembinaan semula wilayah itu.
“Sudah tiba masanya untuk kehendak politik mencapai persetujuan gencatan senjata di Gaza,” katanya dalam satu sidang media di Kaherah, Mesir semalam.
Kementerian Luar Qatar membayangkan rundingan gencatan senjata di Gaza berada pada peringkat akhir dengan butiran perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi.
Jurucakapnya, Majed al-Ansari berkata rundingan berkenaan dilihat bakal membawa perkembangan positif selepas segala pertikaian dapat diselesaikan.
“Draf perjanjian sudah diserahkan kepada Hamas dan Israel. Halangan utama dalam isu-isu kontroversi sudah diselesaikan,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Media sebelum ini melaporkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan berada di peringkat akhir dan dijangka dapat dimuktamadkan Jumaat ini.
Presiden Amerika Syarikat kelmarin membayangkan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung di Doha, Qatar mampu menamatkan serangan di Gaza.
Joe Biden berkata jika rundingan gencatan senjata itu berjaya dimuktamadkan maka lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat memasuki Gaza.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/