Pelantikan Musa Aman: MUDA persoal pendirian kerajaan

Oleh: Azzman Jamal

 

BANGI, Selasa – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menuntut Kerajaan Perpaduan menjelaskan pendirian berhubung pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah hari ini.

 

Ketua Penerangan MUDA, Leben Siddarth berkata, parti itu menyifatkan pelantikan Musa sebagai keputusan memalukan dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap janji reformasi serta prinsip ketelusan yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) selama ini.

 

Beliau berkata, lebih mengecewakan adalah kebisuan Kerajaan Perpaduan, sebuah entiti yang sebelum ini ingin menetapkan penanda aras baharu dalam kepimpinan integriti.

 

“Bagaimana seorang individu yang pernah berhadapan dengan lebih 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram diangkat ke jawatan tertinggi sebegitu?

 

“Meskipun beliau dibebaskan pada 2020, penarikan balik pertuduhan itu terus membayangi kredibiliti sistem keadilan kita, menimbulkan pertanyaan – adakah kuasa politik campur tangan sekali lagi?” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025 menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

 

Susulan itu, Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz mempersoalkan pelantikan tersebut selain menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang hipokrit.

 

Kemudian, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membidas kenyataan tersebut dan meminta Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa supaya merujuk Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.

 

Dalam kenyataan sama, MUDA turut mempersoalkan peranan Fahmi sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan apabila pelantikan itu tidak dipersoalkan.

 

“Fahmi, jurucakap utama Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, dahulu adalah individu yang lantang bersuara menentang isu-isu sebegini dan rasuah.

 

“Kini beliau memilih untuk diam seribu bahasa. Apa gunannya menjadi jurucakap jika isu sebesar ini tidak diangkat dan dipersoalkan?” soalnya.

 

Selain itu, MUDA meminta kerajaan berhenti bermain sandiwara politik dan harus berani menolak pelantikan yang dianggap mencalarkan prinsip ketelusan dan keadilan.

 

“MUDA menyeru semua pemimpin, tanpa mengira parti, untuk bangkit menegakkan kebenaran.

 

“Jangan jadi pelakon di pentas politik yang berpura-pura ketika negara mendambakan kepimpinan sejati. 

 

“Malaysia memerlukan pemimpin yang berani menolak isu-isu ini, bukan tunduk kepada permainan kuasa,” tambahnya.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pelantikan Musa Aman: Fahmi minta Amira rujuk Perlembagaan Negeri Sabah

Next Post

‘Kita doakan rakyat Syria bersatu bina semula negara mereka’ – Tun Mahathir

Related Posts