Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru semua mendoakan supaya rakyat Syria bersatu dalam membangunkan semula negara mereka selepas tumbangnya rejim Bashar Al-Assad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun rakyat Syria dan satu dunia meraikan kejatuhan rejim itu, Syria akan berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, masalah utama yang paling serius setakat ini adalah perampasan tanah di zon penampan yang memisahkan Syria dengan Bukit Golan.
“Ini adalah sebahagian daripada projek ‘Greater Israel’. Sudah tentu Amerika Syarikat menyokong di belakang tadbir.
“Israel percaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mampu menghentikan genosid yang sedang dilakukannya.
“Walaupun Israel tidak berperang dengan Syria, ia tidak menghalang serangan terhadap fasiliti ketenteraan Syria termasuk pangkalan tentera laut menghalang senjata diperoleh pentadbiran baharu Syria,” katanya dalam ciapan di X hari ini.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, tindakan kejam Israel itu juga tidak akan mengecualikan rakyat Syria yang mana kediaman mereka dijangka menjadi sasaran rejim Zionis.
Justeru, beliau berkata, kebebasan adalah sangat berharga dan beliau berharap rakyat Syria kekal bersatu demi kebaikan negara mereka.
“Rakyat Syria yang bersatu mampu mewujudkan negara yang stabil dan mampu mempertahankan diri daripada serangan Israel.
“Semoga Allah SWT merahmati kebebasan yang dinikmati rakyat Syria,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI