Oleh Wartawan TV Pertiwi
Sukarelawan belia di Syria terus memainkan peranan penting selepas kejatuhan rejim Bashar Al-Assad.
Selepas membersihkan jalan raya akibat rampasan kuasa Hayat Tahrir Al-Sham (HTS), mereka berganding bahu memberikan sokongan kepada bekas mangsa penyeksaan regim Assad, lapor Anadolu.
Sukarelawan Sare Ashur berkata tugas mereka kini tertumpu kepada khidmat sokongan dengan menyediakan makanan kepada mangsa dan petugas kesihatan.
“Kami meraikan kejatuhan rejim Assad. Selepas membersihkan jalan bersama rakan-rakan, kini kami menumpukan kepada memasak dan mengagihkan makanan.
“Keutamaan kami ialah membantu mereka yang dibebaskan daripada penjara supaya kesihatan mereka pulih. Jika kami bersatu, negara kami akan bangkit semula,” katanya.
Kumpulan sukarelawan itu mendakwa walau menggunakan sumber yang terhad, mereka tetap menyediakan masakan panas kepada doktor dan mangsa penyeksaan.
Katanya, kira-kira 750 hidangan disediakan setiap hari kepada mereka yang berada di Hospital Besar Damsyik, Al-Mouwasat, Mujtahid dan Ibn Al-Nafees.
Mangsa yang dirawat merupakan pesakit yang sedang pulih daripada kesan fizikal dan psikologi akibat penyeksaan di penjara rejim Assad sejak lebih 20 tahun lalu.
Seorang lagi sukarelawan yang mahu dikenali sebagai Nur Semiha berkata situasi semasa memaksa kumpulan belia melakukan apa sahaja untuk memulihkan negara.
“Saya tahu memasak, jadi saya membantu dengan menyediakan makanan. Terdapat ramai pesakit di hospital yang datang dari penjara.
“Saya menyumbang dengan menyediakan makanan untuk membantu mereka,” katanya.
Kerajaan pimpinan Assad tumbang minggu lalu selepas pejuang HTS berjaya menawan bandar utama di Syria.
Assad dilaporkan melarikan diri ke Rusia selepas melakukan kekejaman kepada rakyatnya lebih 20 tahun lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI