Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya bersuara mengenai desas-desus yang mengatakan beliau bakal menyertai parti PKR.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu akui pernah menyertai perbincangan dengan parti PKR.
Namun, katanya, perbincangan awal itu tidak membincangkan mengenai jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil
“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti.
“Walaupun seperti yang telah disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), pernah ada perbincangan tentang perkara ini dengan pihak yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Zafrul turut meluahkan rasa terkejut dengan perkembangan kepimpinan berhubung perkara berkenaan.
Malah, katanya, sejak isu itu mula diketengahkan, beliau tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar daripadanya.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini.
“Ini termasuk serangan belakang tadbir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutam sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha untuk membina rakyat dan negara.
“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan sebarang keputusan yang berkaitan apa-apa perkara akan dibuat dengan penuh adab dan memaklumkannya secara rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO.
Beliau berkata, buat masa ini, fokus utama adalah terhadap dasar untuk rakyat berdasarkan politik yang membina dan bukan menghancurkan.
“Saya merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar terbaik untuk rakyat.
“Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi tinggi.
“Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan parti komponen, tanpa menganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI