Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Peguam kanan mendakwa pengenalan tahanan rumah perlu dilihat dengan kaca mata yang lebih luas dan bukannya faedah kepada kumpulan tertentu.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pelbagai pendekatan sudah diambil bagi memastikan banduan kesalahan ringan sahaja yang akan mendapat keistimewaan itu.
“Tahanan rumah ini untuk kesalahan-kesalahan kecil yang akan dinyatakan dengan jelas dalam jadual apabila ia digubal nanti.
“Kesalahan kecil tidak mungkin termasuk undang-undang jenayah pecah amanah yang mengakibatkan kerugian duit rakyat. Kalau itu masuk, saya pun akan bantah.
“Undang-undang ini sudah lama pun disyorkan cuma kerajaan dahulu malas hendak bentang. Saya tidak sokong kerajaan sekarang tetapi benda baik saya akan sokong,” katanya.
Haniff diminta mengulas kebimbangan pihak tertentu yang mendakwa tahanan rumah akan memberi kelebihan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, isu kesesakan penjara di Malaysia semakin meruncing apabila 10,000 banduan terpaksa ditempatkan melebihi kapasiti sepatutnya.
“Bila kerajaan berani hendak buat, jangan pula kata ini kerana kes Najib. Lebih 80,000 banduan di 43 penjara di Malaysia kini yang hanya boleh memuatkan 70,000 banduan.
“Kita sudah lebih 10,000 banduan melebihi kapasiti penjara. Maknanya kita tidak mengikut piawaian keselamatan banduan antarabangsa.
“Lagi ramai banduan, lagi tinggi kos menyelenggara. Kos itu dari mana? Duit cukai rakyat. Hendak beri makan pagi, tengahari dan malam. Baju putih mereka itu pun duit kita,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya tahanan rumah menjadi penyelesaian kepada isu kesesakan di penjara.
Katanya, kerajaan perlu berbelanja jutaan ringgit untuk membina penjara baharu dan ia tidak boleh dilaksanakan untuk setiap dua atau tiga tahun sekali.
“Hendak membersihkan lokap dan najis mereka pun menggunakan duit rakyat. 17 tahun dahulu kos perbelanjaan makan seorang banduan lebih RM30 sehari.
“Rakyat bertambah nescaya jenayah bertambah dan banduan akan bertambah tetapi penjara tidak boleh ditambah seperti cendawan lepas hujan.
“Kita perlu jutaan ringgit untuk membina sebuah penjara. Apatah lagi hendak tambah penjara setiap tiga tahun. Mana mampu? Siapa yang hendak sediakan tempat,” katanya.
Haniff berkata atas dasar itu, beliau tampil dengan cadangan memberikan hukuman tahanan rumah kepada pemandu mabuk yang terlibat dalam kes kemalangan maut.
Katanya, walau cadangan itu mengundang kontroversi namun ia boleh mengelakkan pesalah terlibat dengan jenayah yang lebih besar.
“Dalam keadaan tertentu, kita kena cari jalan bagaimana menghukum orang dengan mengurung mereka tetapi tidak menjadi beban kepada masyarakat dan pesalah.
“Antara hukuman yang sesuai untuk tahanan rumah adalah pemandu mabuk. Sekarang bawa kereta dalam keadaan mabuk, orang yang dilanggar mati, hukumannya penjara dua tahun.
“Jika diberi tahanan rumah, mereka tidak boleh keluar rumah dari 7 petang hingga 7 pagi. Selain itu mereka boleh pergi bekerja dan boleh terus berniaga,” katanya.
Ujar Haniff, melalui pendekatan itu pesalah tidak boleh berhibur dan mengambil alkohol pada waktu malam malah mereka tidak akan ditempatkan dengan banduan jenayah berat.
“Ia melibatkan kes bunuh, keganasan, rompak dan dadah. Ia boleh mengelak mereka menjadi penjahat yang lebih ganas,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI