Oleh Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Penakrifan bagi T15 masih dikaji selepas data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan pendapatan isi rumah kategori itu sebanyak RM13,000 adalah terlalu rendah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara ini sedang dibincangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta jabatan berkaitan untuk menaikkan kuantum T15 agar ia tidak membebankan pendapatan seisi keluarga itu tidak terikat dengan takrifan sedia ada.
“Ada isu yang dibangkitkan ialah tentang kedudukan T15, maka kita lepaskan tanggungjawab (harga pasaran petrol RON95) kepada B40, M40 dan bila dikaji, ada rangkaian daripada T20 yang di peringkat bawah itu mungkin pendapatannya lebih rendah.
“Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyasaran subsidi diesel digunakan prinsip yang sama,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai definisi T15 berhubung subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 dan mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan sekali lagi mempertahankan keputusan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 yang dijangka akan dikuatkuasa pada pertengahan 2025.
Tegas Anwar, langkah itu terpaksa dibuat kerana kerajaan menanggung sekitar RM20 bilion peruntukan setahun.
“Saya percaya hal ini boleh dipertahankan sekiranya bantuan itu kepada rakyat. Soalnya sekarang ialah apakah munasabah kerajaan meneruskan subsidi kepada bukan warganegara dan golongan teratas termasuk maha kaya?
“Yang penting di sini, (isu) subsidi tidak membebankan 85% rakyat, jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15, seperti yang disuarakan pembangkang,” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI