Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan terpaksa bertegas dalam peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 bermula Februari tahun hadapan.
Perdana Menteri berkata, penguatkuasaan itu adalah inisiatif kerajaan dalam membela nasib rakyat tanpa meminta pandangan para majikan, lapor BERNAMA.
“Kalau saya tanya syarikat, tidak akan ada keputusan, mustahil dapat keputusan. Jadi saya bincang dengan kawan-kawan Jemaah Menteri.
“Prestasi negara amat baik, pelaburan yang masuk cukup memberangsangkan dan sebuah negara yang makmur tidak boleh ada layanan sebegini kepada pekerja kita.
“Kita naik dari RM1,500 kepada RM1,700,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pembangunan Perumahan Residensi MADANI Putrajaya semalam.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 memaklumkan kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 bermula 1 Februari ini.
Katanya, kerajaan juga bersetuju memberi penangguhan gaji minimum kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga Ogos 2025.
RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI